fb fb fb fb fb

Kerajaan cari formula tangani isu keciciran pendidikan Orang Asli -PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri)

BERA,10 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pendidikan masyarakat orang asli merupakan antara fokus utama kerajaan dengan tumpuan diberikan dalam mencari penyelesaian masalah keciciran murid daripada masyarakat itu di peringkat sekolah menengah. 

Menyifatkan pendidikan sebagai “laluan” kepada mereka untuk mengubah nasib keluarga, beliau berkata kerajaan setakat ini telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan lagi akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli bermula dari tahap rendah sehingga ke peringkat tertinggi.

Ini katanya termasuk mewujudkan tadika di perkampungan orang asli dan sekolah rendah berdekatan penempatan mereka sehinggakan isu keciciran sekolah rendah hampir tiada.

(PM menyifatkan pendidikan sebagai “laluan” kepada mereka untuk masyarakat
orang asli mengubah nasib keluarga)

“Masuk ke sekolah menengah, ini masalah besar, sebab tidak ada sekolah menengah boleh dibina di perkampungan Orang Asli kerana penduduk tak ramai. Bagaimanapun kita hantar mereka ke sekolah menengah yang menyediakan asrama. 

Kerajaan sedang cari formula untuk mengatasi masalah ini kerana yang pasti kerajaan tidak mahu anak-anak siapa pun tidak kira orang asli mahupun etnik lain ketinggalan dari segi pendidikan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM)  di sini. 

Ismail Sabri berkata kerajaan juga menyediakan laluan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara dan institusi pengajian tinggi awam selain memberi biasiswa penuh untuk masyarakat itu melanjutkan pengajian ke luar negara. 

Pada perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan akan memperbanyakkan Balai Internet di perkampungan orang asli dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 

"Melalui pusat ini masyarakat Orang Asli dapat mempelajari untuk menjual secara dalam talian ia juga sekali gus dapat memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan yang kini menggunakan Internet," katanya. -BERNAMA

Media Baharu