fb fb fb fb fb

Kerajaan buka pelawaan kemuka RFP projek pembangunan satelit penderiaan jarak jauh

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang

CYBERJAYA, 30 Januari - Kerajaan membuka pelawaan untuk mengemukakan permintaan cadangan (RFP) kepada syarikat tempatan bagi projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jarak Jauh Negara (PSPJN) bermula esok, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata, kabinet meluluskan projek bawah seliaan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), menerusi Kerjasama Awam Swasta.

"Tempoh enam bulan akan dibuka supaya syarikat tempatan ada cukup masa untuk mencari rakan niaga luar bagi tujuan kerjasama melibatkan teknologi canggih yang belum ada dalam negara kita.

"Ini merupakan perkara pertama kali kita umumkan dan selepas ini akan ada penyerahan pelan dan sebagainya serta pelancaran projek itu dijangka pada 2026," katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini.

Chang berkata dengan adanya keupayaan pembangunan satelit penderiaan jarak jauh kelak, ia akan menjimatkan kos selain menjamin keselamatan data negara.

"Sekarang ini kita beli daripada syarikat luar negara yang ada kepakaran ‘remote sensing’ ini. Kita perlu ada kedaulatan negara di ruang udara dan juga perlu jimatkan (kewangan) negara," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan sempena amanat menteri kepada MOSTI, beliau menggariskan lima sektor yang perlu diberi penekanan dan bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hidrogen, teknologi angkasa, bidang bioteknologi - keterjaminan makanan dan perubatan jitu serta ekosistem syarikat pemula akan diberi keutamaan kementeriannya.

Chang turut menekankan dalam usaha menjadi peneraju ekonomi hidrogen di rantau ini, MOSTI secara aktif sedang membina rangkaian industri bagi mewujudkan ekosistem teknologi hidrogen bagi mencapai sasaran jangka pendek dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Beliau berkata antara inisiatif jangka pendek HETR adalah mengeksport tenaga hidrogen ke Korea, Jepun dan Singapura yang bernilai lebih RM20 billion menjelang 2027.

"Justeru, kita akan menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi mewujudkan sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) sebagai satu projek rintis serta meneroka peluang aplikasi tenaga hidrogen dalam sektor mobiliti," katanya menambah ketika ini Sarawak merupakan peneraju dalam teknologi hidrogen.

TETITIA YUSOFF