SUNGAI RAMBAI, 30 Januari - Sebuah kilang perabot di sini yang telah beroperasi selama 10 tahun dikenakan tindakan undang undang dan enam kompaun selepas didapati menyediakan penginapan daif kepada pekerja.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem berkata, kilang yang menempatkan 77 pekerja itu terdiri daripada 11 warga tempatan dan 66 warga asing.
Hasil serbuan mendapati terdapat 14 unit penginapan jenis kayu yang daif disediakan tanpa sebarang perakuan penginapan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk ruang penginapan yang panas dan tiada pengudaraan, penginapan melebihi kapasiti dibenarkan, tandas dan ruang dapur yang kotor dan pendawaian elektrik tidak selamat.
"Majikan mesti lapangkan masa untuk menjaga kebersihan, suruh semua pekerja untuk bersihkan kawasan masing masing dan tempat ini kena naik taraflah untuk mematuhi Akta 446. Majlis perbandaran Jasin kalau tidak patuhi kita akan tutup sajalah sebab kita ada pekerja, kalau ada kemalangan dan tiada lesen dia tak akan dapat dibayar oleh insurans atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," kata Ngwe Hee Sem kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kilang terbabit.
Selain Jabatan Tenaga Kerja (JTK) operasi itu turut melibatkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah.
Kes disiasat mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan.