KUALA LUMPUR, 26 Januari- Kerajaan menzahirkan komitmen untuk terus memperkasa Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dapat mengangkat gagasan pemikiran dan karya Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.
"Insya-Allah, kerajaan akan mengambil inisiatif untuk memperkasa Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di ISTAC dengan koleksi sedia ada yang dianggarkan melebihi 150,000 judul.
"Kita mendoakan agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan manfaat daripada seorang sarjana Islam unggul kita, guru cemerlang kita, dan Sasterawan Diraja yang kita kasihi, Profesor Naquib al-Attas" katanya ketika berucap dalam Majlis Syarahan Perdana Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas "Islam: The Covenants Fulfilled" di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Syarahan tersebut mengetengahkan perbincangan mendalam mengenai buku "Islam: The Covenants Fulfilled", karya terakhir Syed Muhammad Naquib.
Majlis ilmu itu menjadi platform yang menghimpunkan lebih 500 para ilmuwan, tokoh industri, dan pemimpin masyarakat, untuk mendapatkan inspirasi serta wawasan daripada ilmuwan ulung negara.
Dalam ucapan beliau, Anwar menekankan penghargaan sumbangan penerokaan mendalam Syed Muhammad Naquib dalam bidang sejarah, semantik, kesusasteraan, kajian tamadun, falsafah, metafizik, dan Islam.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Anwar berkata asas penting dalam membina tamadun yang mulia dan hebat adalah dengan mengatasi kejahilan melalui ilmu.
Justeru, Perdana Menteri menegaskan kekuatan hakiki masyarakat Melayu perlu dibina berlandaskan asas itu, bersama nilai-nilai Islam yang lain.
Beliau berkata, prinsip tersebut telah digariskan melalui karya-karya besar Syed Muhammad Naquib.
"Karya-karya besar Profesor Naquib mengingatkan kita tentang pandangan Islam terhadap kehidupan yang berteraskan dominasi nilai-nilai tamadun seperti keadilan, budaya, kebebasan, moraliti, dan kemajuan masyarakat.
"Di atas segalanya, seruan untuk mengatasi kejahilan dengan ilmu dan menuju cahaya daripada kegelapan adalah asas penting dalam membina tamadun yang mulia dan hebat," katanya.