fb fb fb fb fb

Kerajaan akan perhalusi cadangan dalam memperkasa DDI

PUTRAJAYA, 25 April - Kerajaan akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan pelaburan langsung domestik (DDI), elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata DDI dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre - OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 bagi tahun ini.

“Negara yang kini dalam fasa “Peralihan ke Endemik” dan DDI adalah elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi.

“Sehubungan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh NCCIM itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara cadangan tersebut termasuklah melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi; melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan; merekayasa proses pengurusan buruh asing serta menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI).

Bagi melonjakkan potensi DDI, kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan PBT khususnya memperkasakan pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus.


(Datuk Seri Ismail Sabri bersama ahli Majlis Tindakan Ekonomi /FOTO Pejabat PM)

"OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undangundang semasa bagi mengawalselia dan memudahcara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

"Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti
pelesenan secara digital", katanya.

Beliau berkata proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik.

"Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri.

Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia", katanya.

Media Baharu