KUALA LUMPUR, 23 November- Kerajaan akan menggubal rang undang-undang bagi teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dalam tempoh masa 12 hingga 15 bulan akan datang.
Langkah itu bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam industri CCUS di rantau ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Kementeriannya diamanahkan untuk melaksanakan inisiatif ini dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi mempercepatkan pemahaman mereka terhadap industri CCUS.
"Oleh kerana ia satu industri yang baharu maka perlu rangka kerja dari segi undang-undang, peraturan, piawai yang perlu dibangunkan serta-merta. setakat ini kita tiada lagi,"katanya.
Jelasnya, CCUS dilihat berpotensi menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana pelaburan asing bernilai tinggi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media 'CCUS sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi' di ibu negara.
Dalam perkembangan berlainan, Rafizi memaklumkan kerajaan dalam proses menunggu hasil kajian berhubung kesan pembinaan jambatan darat Thailand ke atas ekonomi Malaysia selesai.
Ini untuk melihat laporan data sekaligus memudahkan kerajaan membuat keputusan yang tepat.
Setakat ini, cadangan projek negara Gajah Putih itu melibatkan kos RM131 bilion dengan pembinaan pelabuhan baharu.