KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangka beberapa kerjasama dalam mendepani keperluan tenaga kerja berkemahiran selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Usaha itu termasuk libat urus berterusan bersama pihak industri dalam mendapatkan maklum balas bagi menambah baik program pendidikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Selain itu, memastikan jumlah keperluan tenaga kerja di industri adalah mencukupi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata kerjasama tersebut melibatkan syarikat Microsoft, Digital Nasional Berhad, Ericsson dan Technology Depository Agency.
KPT juga turut terlibat secara langsung dalam dua pelan tindakan dan tiga pemacu perubahan dalam NIMP 2030 bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
"Pada masa ini, KPT sedang menjalankan beberapa inisiatif penting dalam usaha untuk memenuhi keperluan industri, selari dengan keperluan dan matlamat industri dalam NIMP 2030. Salah satu inisiatif yang utama ialah pemantapan CoE di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang memfokuskan kepada bidang tujahan tertentu.
KPT akan memanfaatkan platform MyNext dan MYFutureJobs bagi memastikan graduan yang masih belum bekerja, dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan akademik mereka," kata Yusof di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan wakil Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Parlimen.
Mengenai TVET pula, tambahnya, program bawah KPT itu menunjukkan kemasukkan yang konsisten dengan kemasukkan seramai 85,535 pelajar pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.