KUALA LUMPUR, 10 Mac Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Kit Ujian Kendiri)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata harga maksimum kit ujian ini telah ditetapkan 19 ringgit di peringkat runcit dan 16 ringgit di peringkat borong di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Dari aspek keberadaan bekalan di pasaran, kerajaan telah mewartakan kit ujian pantas antigen covid-19 (ujian sendiri) ini sebagai barang kawalan di bawah perintah kawalan bekalan (barang-barang kawalan) (no.6) 2021 pada 24 november 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 disember 2021 yang lalu.
"Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta mendapatkan harga pelitup muka dan kit ujan kendiri pada harga yang tidak membebankan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai adakah kementerian akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling pelitup muka serta kit ujian kendiri COVID-19.
Tambahnya, penguatkuasaan, pemeriksaan dan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa dilakukan ke atas item berkaitan di setiap peringkat seperti pengilang, pemborong dan peniaga.
(Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Kendiri- Alexander)
"Selain itu, akses pengguna untuk mendapatkan kit ujian kendiri ditambah baik tanpa mengabaikan kepentingan aspek kesihatan dan keselamatan awam," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri, hari ini.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, menjawab cadangan Cha berkaitan penetapan harga siling bagi peranti oximeter dan penyukat suhu, Nanta berkata ketetapan harga bagi peranti itu akan dilaksanakan sekiranya perlu.
Menjawab soalan tambahan mengenai usaha kerajaan dalam mengawal kualiti barangan bagi pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri di pasaran, Nanta berkata kementerian itu sedang memperhalusi perkara berkenaan bagi memastikan kualitinya bertaraf standard perubatan.
“Bukan sekadar harga sahaja (yang dipantau) tetapi juga kita ingin memenuhi kualiti. Perkara itu sedang kita teliti dan akan wartakan standardnya nanti.
“Berhubung dengan Kit Ujian COVID-19 tadi, sememangnya ia di bawah bidang kuasa MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan) di bawah Kementerian Kesihatan. Jadi kementerian ini akan terus bekerjasama dengan MDA untuk memantau secara berterusan berhubung perkara itu bagi memastikan peranti ini berkualiti (di pasaran),” katanya.