KUALA LUMPUR, 28 Disember - Kejayaan Kerajaan MADANI dilihat sebagai hasil kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan berterusan rakyat terhadap kepimpinan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook memaklumkan, kerajaan terus memperkukuh ekonomi negara menerusi kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pertumbuhan inklusif.
"Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu, hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan.
"Malah, di peringkat antarabangsa, hubungan antara kerajaan, pelbagai negara, kumpulan pemimpin, membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia," menurut hantaran itu.
Di dalam negara, ekonomi terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan inklusif.
"Dengan sokongan padu keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia, saya percaya Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan, berkhidmat dengan amanah, dan membina negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua," tambah hantaran itu.