fb fb fb fb fb

Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia rangka 29 program berpaksikan rakyat

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 14 Januari – Malaysia telah merangka lebih 29 mesyuarat dan program berteraskan agenda “berpaksikan rakyat” bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkasa komuniti akar umbi sambil mendekatkan ASEAN dengan masyarakat tempatan.

“Banyak program telah dirancang, antaranya Persidangan Belia ASEAN, kempen beli barangan buatan Malaysia untuk usahawan tempatan, forum ASEAN Plus Three mengenai pemberdayaan wanita luar bandar melalui pendigitalan, serta ASEAN Minister Round Table on Out-of-School Children and Youth Towards Equitable Education,” katanya dalam sidang media khas, di sini.

Dalam pada itu, Amran berkata lebih 200 delegasi asing dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi yang akan berlangsung mulai Sabtu ini.

Menurutnya, pemukiman itu adalah mesyuarat pertama yang membuka tirai Kepengerusian ASEAN 2025.

“Bidang keutamaan yang telah ditetapkan untuk kepengerusian ASEAN akan dibincangkan dan dikongsi bersama delegasi di peringkat menteri,” tambah Amran.

Sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian, kenderaan elektrik keluaran Proton, e.MAS 7, akan digunakan sebagai kenderaan rasmi sepanjang pemukiman tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN