fb fb fb fb fb

Kepengerusian ASEAN 2025: Rapatkan jurang pembangunan, tingkatkan taraf hidup

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Oktober- Elemen ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ akan diberi keutamaan selaras tema kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan memastikan elemen tersebut diperkasa ke arah usaha pembinaan komuniti ASEAN.

Ini termasuk melibatkan usaha yang lebih besar untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup, dan pada masa sama mengurangkan kesan perubahan iklim.

"Selaras dengan tema keterangkuman dan kemampanan, mesej halus yang kita tunjukkan adalah keperluan untuk kita terus bersatu tanpa ada usaha untuk memecahbelahkan kita. Ramai yang iri hati terhadap kita, dan itulah perkara yang kita perlu pertahankan.

"Ini adalah tugas utama untuk memastikan kesatuan ASEAN ini kekal berasaskan zon bebas, aman, dan berkecuali serta memastikan kemampanannya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini.

Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.

Tambahnya, tahun 2025 merupakan tahun bersejarah bagi ASEAN dalam meraikan ulang tahunnya ke-10 bagi penubuhan rasmi Komuniti ASEAN.

Beliau turut menekankan bahawa tahun 2025 juga akan menjadi satu lagi pencapaian penting bagi ASEAN kerana ia akan menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045.

Visi tersebut akan merangka hala tuju strategik ASEAN untuk 20 tahun akan datang.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia bersedia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Jelasnya, Malaysia berbesar hati mengambil alih kepengerusian tersebut dengan hasrat untuk menerajui usaha memperkukuh keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau.

Selain itu, Malaysia juga bertekad menggalakkan hubungan strategik dalam kalangan negara anggota menerusi dialog dan diplomasi, serta bekerjasama dalam mengembangkan perkongsian ekonomi.

"Malaysia akan terus mendorong komitmen yang lebih kukuh bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara negara-negara ASEAN.

"Kami juga akan memastikan bahawa ASEAN dapat memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi, dan inovasi, serta memperoleh faedah daripada transformasi digital dan teknologi baharu," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM