Kepelbagaian agama dan kaum, keunikan yang perlu dipertahankan – TPM Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada majlis sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di ibu negara/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 November – Perbezaan agama tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu diraikan sebagai asas pembentukan masyarakat majmuk yang harmoni.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hormati kepercayaan pelbagai agama; elakkan tindakan yang merosakkan hubungan antara penganut.
  • Pelihara kepelbagaian agama dan kaum melalui semangat kebersamaan serta saling menghormati.
  • Utamakan penyatuan sosial, jangan mencetuskan polemik atau membesarkan perbezaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat negara ini perlu saling menghormati kepercayaan masing-masing dan mengelakkan tindakan yang boleh merosakkan hubungan baik antara penganut agama.

Jelasnya, prinsip menghormati agama lain perlu menjadi pegangan semua pihak bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Di Malaysia, kita sudah berusaha membina penyatuan sosial supaya perbezaan agama tidak menjadi alasan untuk kita bermusuhan. Sebaliknya, kita perlu bersatu dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

“Inilah perkara penting yang perlu kita pelihara. Oleh itu, janganlah kita merosakkan hubungan baik antara penganut agama,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP), di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menambah, kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia adalah keunikan yang perlu dipertahankan menerusi semangat kebersamaan serta saling menghormati.

“Pendekatan menyantuni seluruh rakyat tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan bahasa lebih penting berbanding tindakan mencetuskan polemik atau memperbesarkan perbezaan.

“Inilah keindahan budaya Malaysia. Semangat kebersamaan ini bukan sahaja dapat dilihat di sini, malah di seluruh negara.

“Perhimpunan seperti ini mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia. Kita mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian kerana kita tidak membezakan seseorang berdasarkan warna kulit atau latar belakang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak merosakkan hubungan baik antara agama yang sekian lama menjadi kekuatan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.