fb fb fb fb fb

Kepakaran pengurusan bencana negara dipandang tinggi oleh Turkiye

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Februari- Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan menunjukkan bahawa kepakaran pengurusan bencana negara dipandang tinggi oleh republik itu.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus, MoU tersebut dibuat hasil perbincangan berhubung kemajuan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) semasa lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada 10 dan 11 Februari lalu.

Beliau berkata dalam konteks pengurusan bencana, Malaysia sememangnya telah menjalinkan kerjasama yang baik dengan republik tersebut.

"Pasukan MyTeam Relief yang terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi-agensi sokongan berkepakaran telah dihantar bagi membantu Kerajaan Republik Turkiye semasa kejadian bencana gempa bumi di Gaziantep pada 6 Feb 2023.

“Bertitik tolak daripada misi bantuan kemanusiaan dan bencana tersebut, NADMA telah mengadakan perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dijalinkan dalam bidang pengurusan bencana dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Kementerian Dalam Negeri Turkiye,” katanya.

Antara bidang kerjasama yang dipersetujui dalam pemeteraian MoU tersebut seperti penganjuran program latihan berkaitan bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan bersama dalam kejadian bencana dan kecemasan.

Ia turut merangkumi pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan lain yang berkaitan dengan pengurusan bencana yang dipersetujui secara bersama.

"Melalui MoU ini, diharapkan kerjasama, komitmen dan kebersamaan kedua-dua buah negara dalam membentuk dan memperkukuhkan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan jayanya", katanya menerusi kenyataan.

ROSLINA BINTI DIN