KUALA LUMPUR, 6 Februari - Hujan berterusan menjadikan Keningau sebagai daerah terbaharu dilanda banjir lewat malam tadi selain Kinabatangan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua penduduk terjejas banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kinabatangan.
"Keadaan banjir menyebabkan angka penduduk terjejas meningkat kepada 319 daripada 82 keluarga pada pagi ini, berbanding 228 daripada 60 keluarga pada 8 malam tadi.
"Seramai 66 orang (16 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS di Keningau, manakala 253 orang (65 keluarga) berlindung di dua PPS di Kinabatangan," menurut jawatankuasa itu.
Antara kawasan terjejas banjir Kampung Kauran, Kampung Lingkudau, Tamu Ground, Kampung Patikang Ulu dan Kampung Kauran Greg.
Hasil pemantauan mendapati air di kebanyakan kampung yang terjejas mula surut, namun Kampung Kauran Greg masih dilanda banjir. Berikutan itu, seramai 66 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Majlis Daerah Keningau bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) laporan cuaca pada pagi tadi menjangkakan keadaan hujan beserta ribut petir boleh berlaku tertumpu di bahagian pedalaman dan pantai barat di Negeri Sabah.
Katanya, hujan berterusan akan melanda beberapa kawasan di Sabah sehingga Sabtu, 8 Februari ini.
Kawasan yang dijangka terjejas termasuk Pantai Barat meliputi Ranau dan Kota Belud, daerah Sandakan seperti Telupid, Kinabatangan, Beluran serta Sandakan, selain kawasan Kudat.