fb fb fb fb fb

Maksimum 20 liter diesel kenderaan asing 30 dari sempadan Brunei, Indonesia

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali

PAPAR, 4 Ogos - Kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tidak melebihi 20 liter di stesen minyak Sabah dan Sarawak yang beroperasi dalam radius 30 kilometer dari sempadan Brunei atau Indonesia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas daripada radius itu, warganegara asing boleh membeli diesel dalam kuantiti diperlukan dengan syarat isian itu hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja.

Armizan berkata, ia berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan Di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung Larangan Penjualan Diesel dan Petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang sedang berkuat kuasa dan dikeluarkan 17 Jun 2022.

"Kita mahu lindungi hak rakyat kita untuk subsidi itu, tetapi pada masa sama kita prihatin kerana bagi kita kedatangan pelancong ke Sabah dan Sarawak ini penting untuk ekonomi setempat. KPDN juga mengambil perhatian tentang rungutan daripada pelancong asing di khususnya dari Brunei yang sukar mendapatkan bekalan petrol RON97 kerana tidak banyak stesen minyak yang membekalkan petrol terbabit," kata Armizan.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah Papar dan Program Battle of Ethnic, di sini.

Armizan mengulas hantaran yang tular menerusi media sosial berkaitan konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ atau luar jalan raya di Sarawak, namun kumpulan itu berdepan kesukaran mengisi diesel kerana stesen minyak di laluan mereka enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.

TETITIA YUSOFF