fb fb fb fb fb

Kendali bot tempatan tanpa kebenaran, lima lelaki warga asing ditahan

(Foto Maritim Selangor)

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Lima lelaki warga asing yang bekerja di atas bot nelayan tempatan tanpa kebenaran, ditahan di sekitar perairan Sungai Besar, lebih kurang pukul 12.50 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua warga asing itu ditahan ketika bot ronda Maritim Malaysia membuat pemeriksaan ke atas bot nelayan pada kedudukan 5.2 batu nautika Sungai Besar dalam Op Ehsan.

Pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan tempatan Kelas C itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru warga asing berusia antara 31 hingga 54 tahun.

Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

(Maritim Malaysia turut menegaskan, tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang
di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara/Foto Maritim Selangor)

Lebih kurang 200 kilogram ikan campur dan peralatan menangkap ikan di atas bot turut ditemukan.

Kesemua mereka dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Maritim Malaysia juga menegaskan, tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Media Baharu