fb fb fb fb fb

Gambar diguna sebagai bahan promosi, Fadillah nafi terlibat Pelaburan Patuh Syariah

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan ada terlibat dalam Pelaburan Patuh Syariah yang menggunakan gambarnya sebagai bahan promosi.

Susulan itu, satu laporan polis akan dibuat bagi menyiasat penularan poster berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri menerusi muat naik di Facebook menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak terlibat.

Tegasnya, beliau tidak pernah mengizinkan mana-mana pihak menggunakan gambarnya untuk tujuan sedemikian.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak terlibat dengan pelaburan berkenaan dan saya tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar saya.

"Saya telah mengarahkan Pegawai Khas saya di Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran poster berkenaan," tulisnya.

(Timbalan Perdana Menteri menerusi muat naik di Facebook
menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak terlibat)

Fadillah turut mendedahkan poster sama pernah disebar September tahun lalu.

"Untuk rekod poster palsu sama pernah disebarkan melalui perkongsian di media sosial pada tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Laporan polis juga pernah dibuat oleh pegawai saya pada 3 September 2022 mengenai penyebaran poster berkenaan di media sosial," tambah beliau.

Media Baharu