fb fb fb fb fb

Kenal pasti kawasan 'hotspot' banjir, hadapi hujan lebat sehingga 30 Januari ini

SEGAMAT, 25 Januari- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan semua negeri dan daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan 'hotspot' banjir supaya bersedia menghadapi beberapa episod luruan monsun timur laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata fenomena tersebut membawa kepada keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Justeru, pihaknya sudah meminta agar semua bilik gerakan bencana diaktifkan di kawasan hotspot terlibat yang akan diselaras oleh pegawai-pegawai daerah.

"Jadi fokus kita sekarang yang paling penting untuk memastikan kita dapat menyelaraskan semua agensi yang terlibat berdasarkan arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita gabungkan semua 'resource' yang ada merentasi 'across the board' semua agensi ini.

"Kedua untuk memastikan bahawa masyarakat sekitar ini mendapat maklumat yang penting dan sekiranya hujan berterusan dan agensi keselamatan mengarahkan penduduk untuk berpindah. Kita berharap agar masyarakat tidak bertangguh dan sentiasa mematuhi arahan," katanya.


(Datuk Armizan Mohd Ali melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di Segamat, Johor)

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Tasek di Segamat, Johor.

Tambah Armizan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi persekutuan dan peringkat negeri selain pihak badan bukan kerajaan, agar semua bantuan dapat diselaras sebaiknya di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri.

Setakat 2.00 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang melibatkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing. 

Media Baharu