(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan kadar Skim Subsidi Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 berkuat kuasa hari ini, disambut baik semua pesawah di negeri jolokan jelapang padi sekali gus mendorong mereka lebih bersemangat untuk mengusahakan tanaman padi berkualiti.
Di SEREMBAN, rata-rata pesawah yang ditemui RTM mengakui kenaikan itu dapat menambah sumber pendapatan selain meningkatkan pengeluaran padi.
"Dengan pengumuman daripada Perdana Menteri untuk menaikkan harga subsisi sedikit sebanyak membantu pesawah dari segi sumber pendapatan . Jika sebelum ini perbezaan satu tan padi adalah RM140 yang bersamaan dengan 1 hektar sawah. Kalau empat atau lima tan padi boleh mencecah dekat RM1000," kata Mohamad Khairul Abdul Rahim.
"Bila dinaikkan kadar subsidi kami sebagai pengusaha akan jadi lebih bersemangat untuk tingkatkan lagi hasil padi. Semakin banyak kita menghasil kuantiti padi semakin bertambah subsidi yang kami dapat," kata Mohamad Norazim Mustafa.
Di KEDAH, komuniti pesawah di negeri itu menyifatkan kenaikan kadar SSHP dapat membantu mereka mendepani peningkatan kos pengeluaran padi.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana menaikkan harga subsidi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan. Kami pak tani rasa bersyukur dengan kenaikan tersebut kerana dapat membantu meringankan beban memandangkan pertanian tanaman padi sekarang terpaksa menanggung kos yang tinggi," kata Abu Bakar Ishak.
"Saya mengerjakan sawah seluas 16 relung (ukuran luas tanah), saya bersyukur sangat dengan pengumuman Perdana Menteri, ini akan meningkatkan lagi semangat saya mengerjakan sawah padi," kata Ibrahim Man.
"Kenaikan harga subsidi RM140 per tan dapat membantu petani seperti kami dari segi sumber pendapatan untuk menjalani kehidupan seharian," kata Asmunir Ibrahim.
Ibrahim Man (Kiri) dan Asmunir Ibrahim (Kanan)
Di MELAKA, peningkatan kadar SSPH itu ternyata memberi kelegaan kepada mereka.
"Bagi saya bertepatan apa yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri. Dengan kenaikan harga jualan mungkin pihak kilang mainkan harga dari segi pemotongan jualan kita tapi kalau kenaikan pada subsidi jualan ini dapat membantu dari segi pembelian baja dan sebagainya untuk meningkatkan lagi jualan padi, " kata Suhaimi Mustapa.
"Setelah sekian lama kenaikan sebanyak RM140 ini merupakan kenaikan terbesar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sesungguhnya kenaikan ini amat membantu pesawah-pesawah dalam menyediakan hasil padi yang lebih baik lagi, " kata Mohd Sabri Yusuf.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan kenaikan SSHP yang merupakan kenaikan terbesar dalam sejarah negara.
Tambah beliau dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.