KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Kerajaan akan memastikan kebajikan dan sokongan ysng berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil.
Sebanyak RM1.8 bilion peruntukan yang merangkumi subsidi harga padi,baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan.
Menurut Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kenaikan subsidi dan insentif ini meningkat RM100 juta berbanding tahun 2022.
"Seterusnya, peruntukan sebanyak RM228 juta bagi bantuan kepada pesawah padi.
"Ia diperkenalkan semula untuk tahun 2023 dengan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh 3 bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah," katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Peruntukan sebanyak RM256 juta juga disediakan untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah, dengan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh 4 bulan kepada 320,000 pekebun kecil.
Ini bermakna pekebun kecil akan mendapat BMT sebanyak RM800 berbanding RM600 sebelum ini.
"Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program 'TARGET' untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
"Selain itu, Skim Pelindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha peranian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi," kata Zafrul di sini.