fb fb fb fb fb

Kenaikan paras air di 12 muara sungai utama di Terengganu dijangka berlaku malam ini

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Penduduk berhampiran 12 muara sungai utama di Terengganu berisiko mengalami kenaikan paras air sungai malam ini.

Ini berikutan fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara pukul 8 hingga 9 malam ini yang akan berlanjutan hingga 5 mac depan.

Timbalan pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Osman Abdullah berkata, ia melibatkan 37 kampung di lapan buah daerah.

Keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan air di kuala sungai dan berisiko banjir jika berlaku pertembungan air sungai dari hulu yang meningkat sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan sungai utama menunjukkan trend penurunan dan dijangka kembali normal dalam tempoh 3 hingga 4 hari lagi.

Hingga pukul 4 petang tadi tiga sungai utama di Kemaman, Dungun dan Setiu melebihi paras bahaya.


"Sebab hujan yang sangat lebat menyebabkkan tanah tepu dan air jadi lari dan menuju ke sungai. Cuma yang menjadi kebimbangan kami ialah, air pasang kemuncak antara pukul 8 hingga 9 malam ini," kata Osman kepada pemberita selepas meninjau bilik gerakan banjir JPS negeri di Kuala Terengganu.

Sembilan kakitangan ditugaskan setiap hari mengikut giliran bagi memantau paras air sungai di setiap stesen sepanjang tempoh banjir.

Mengulas lanjut Osman berkata, banjir di Hulu Terengganu disebabkan keadaan hujan luar biasa di Sungai Tersat dengan taburan hujan melebihi 1,000 milimeter dalam tempoh empat hari.

Jumlah tersebut merangkumi taburan hujan bagi tempoh antara empat hingga lima bulan musim biasa.

Media Baharu