fb fb fb fb fb

UUM reka sembilan motif batik melalui 'Cyontok Bhatik', tarik minat Jakel

SINTOK, 28 Februari - Keunikan 'Cyntok Bhatik' ciptaan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menarik minat NNZA Textile Sdn. Bhd. iaitu operator Jakel Trading Sdn. Bhd. untuk memeterai Perjanjian Pelesenan Pengkomersialan Motif 'Cyntok Bhatik' bersama UUM.

Pemeteraian perjanjian tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Doktor Haim Hilman Abdullah dan Pengarah Urusannya, Zainul Saad di Balai Tamu, Canselori Sultan Sallehuddin, di sini semalam.

Menurut Profesor Doktor Haim Hilman, beliau amat berbesar hati kerana syarikat berkenaan menjadi rakan strategik UUM untuk mengetengahkan produk inovasi UUM 'Cyntok Bhatik' yang dibangunkan kumpulan penyelidik diketuai Profesor Madya Ts. Doktor Adzrool Idzwan Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).

"Selepas termeterainya perjanjian ini, kita akan terus bergerak dengan aktiviti-aktiviti seperti yang sudah termaktub dan berharap lebih banyak motif batik dapat diketengahkan.

"Kerjasama ini merupakan satu perkembangan positif dan baik kerana universiti telah mula mengorak langkah bersama industri tekstil batik untuk pasaran tempatan," katanya.

(UUM jalin kerjasama dengan Jakel/Foto UUM)

Beliau berharap kolaborasi antara kedua pihak bagi tempoh lima tahun itu akan terus berkembang dan menjadi kebanggaan kepada UUM dan kedua-dua pihak dalam usaha memartabatkan 'Cyntok Bhatik' yang mempunyai sembilan motif utama.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan (Jabatan Operasi Runcit), Azlan Abu Bakar berharap motif batik dapat diketengahkan bukan sahaja di dalam negeri Kedah, malah ke seluruh negara dengan lebih banyak motif yang menarik.

Media Baharu