
BANGI, 19 Mei – Tiada projek pembinaan awam akan dihenti atau ditangguhkan, walaupun industri berdepan kenaikan kos bahan binaan, susulan krisis bekalan global.
- Industri pembinaan pemacu utama pertumbuhan ekonomi; projek yang diluluskan akan diteruskan.
- Projek dalam perancangan diteruskan sekiranya melibatkan keperluan penting.
- Kenaikan kos bahan binaan masih terkawal dan belum memerlukan tindakan drastik.
- VOP tidak dilaksanakan kerana implikasi kewangan besar; kerajaan meneliti perkongsian kos dengan kontraktor.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan industri pembinaan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, justeru semua projek yang telah dilulus, bakal diteruskan.
“Mana-mana projek yang telah ditandatangani sedia diteruskan, manakala projek dalam perancangan juga diteruskan sekiranya melibatkan keperluan penting.
“Kenaikan kos ketika ini masih terkawal dan belum memerlukan tindakan drastik seperti menghentikan projek pembangunan,” katanya selepas merasmikan B.U.I.L.D.E.R.S Industry Forum 2026 (BIFA 2026).
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya telah membentangkan strategi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani cabaran ekonomi semasa dengan antara isu utama adalah kenaikan kos logistik, pengangkutan serta bahan binaan yang memberi tekanan kepada industri pembinaan.
Mengulas mengenai tuntutan Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP), beliau berkata langkah berkenaan, tidak dapat dilaksana berikutan memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.
“Sebaliknya, kerajaan juga sedang meneliti pendekatan perkongsian kos antara kerajaan dan kontraktor bagi mengurangkan beban kenaikan harga sektor pembinaan,”akuinya.