
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kenaikan gaji penjawat awam fasa dua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula hari ini bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen kakitangan awam dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
- Kenaikan gaji fasa dua di bawah SSPA dianggap pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen penjawat awam.
- Perdana Menteri menyifatkan kenaikan ini sebagai yang tertinggi dalam tempoh 12 tahun dan bersejarah.
- Harapan agar pengiktirafan mendorong penjawat awam terus berkhidmat dengan integriti dan semangat kebangsaan.
- Kenaikan bermatlamat memacu Malaysia ke tahap kecemerlangan seterusnya melalui sumbangan penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, kenaikan gaji berkenaan merupakan yang tertinggi dalam tempoh 12 tahun, sekali gus mencatat sejarah baharu bagi penjawat awam.
“Hari ini kita meraikan komitmen penjawat awam dengan kenaikan gaji baharu tertinggi dalam tempoh 12 tahun yang terbesar dalam sejarah bagi penjawat awam.
“Ia bukan sekadar angka tetapi pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen anda demi pembangunan negara,” ujar beliau menerusi hantaran tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri berharap pengiktirafan berkenaan menjadi dorongan kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan integriti, dedikasi dan semangat kebangsaan, sekali gus bersama-sama memacu Malaysia ke tahap kecemerlangan seterusnya.
Penjawat awam hari ini mula menikmati kenaikan gaji fasa dua di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024, melibatkan kadar keseluruhan sebanyak 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.