fb fb fb fb fb

Kemudahan perumahan, elaun anggota PDRM diperkasa

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 November -Kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkasa melalui penambahbaikan kemudahan perumahan, elaun dan perlindungan kebajikan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sejumlah kuarters PDRM sedang dinaik taraf selain pembinaan unit baharu untuk memastikan keselesaan anggota.

"Ketika ini, 62,760 unit kuarters disediakan di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2030.

PDRM telah mengemukakan permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada 8 September 2025 untuk menambah baik 16,630 unit kuarters dengan kos RM383.158 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, di Parlimen.

Selain perumahan, pelbagai perlindungan kebajikan juga disediakan termasuk rawatan kesihatan di hospital dan klinik panel, insurans khas serta skim kebajikan PDRM untuk anggota dan keluarga.

Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, beliau berkata, kerajaan turut menekankan peningkatan gaji dan insentif anggota.

"Gaji pokok Konstabel Gred Y1 telah ditambah baik kepada RM1,560 sebulan, dengan gaji maksimum RM4,780.

Anggota juga menerima kenaikan tahunan RM105, insentif PDRM RM200, bayaran sara hidup RM150–RM350 dan imbuhan tetap perumahan RM230–RM300. Pendapatan bersih anggota Y1 sekitar RM2,170 sebulan," jelasnya.

Tambah beliau, anggota juga menerima elaun mengikut kepakaran dan risiko, termasuk insentif detektif RM300, insentif tugas am RM200, serta insentif kemahiran RM45–RM360.

Bagi kemudahan kediaman, kerajaan memperuntukkan RM276.66 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan 13,474 unit kuarters di seluruh negara.

Datuk Seri Shamsul Anuar turut menegaskan perlindungan diberikan kepada anggota yang berdepan risiko semasa bertugas melalui Skim Bencana Kerja.

Ia termasuk bantuan meninggal dunia RM25,000, kehilangan upaya RM11,000–RM30,000, cedera parah RM8,000 dan cedera ringan RM1,000.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN