fb fb fb fb fb

Jangan jadikan situasi banjir sebagai pesta air

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Suffian Sulaiman bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman/RTM

KEMAMAN, 26 November – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan situasi banjir yang sedang berlaku di Terengganu sebagai suatu ‘pesta air’ untuk bersuka-ria dan bermain air.
 
Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Suffian Sulaiman menegaskan perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, malah mengancam keselamatan diri dan keluarga.
 
Beliau berkata, penduduk sering kali dilihat seperti berpesta air setiap kali tiba musim banjir dengan membawa anak-anak kecil.
 
Walaupun mereka bermain air di atas jalan, tetapi ada kalanya tidak nampak terdapat longkang yang dipenuhi air, yang boleh mendatangkan bahaya.
 
"Tidak perlu berpesta...air ni bukan untuk kita bawa anak-anak kecik berpesta, kerana kita tidak tahu bila paras air akan naik secara mendadak dan menghadapi kesukaran untuk menyelematkan diri," kata beliau.

Polis Terengganu menggerakkan seramai 1,327 orang anggota dan pegawai bagi membantu operasi banjir di negeri itu sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac tahun depan.
 
Seramai 120 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) turut terlibat membantu operasi bencana berkenaan. 
 
"Seluruh bantuan keanggotaan polis sekarang ini dalam keadaan siap-siaga yang maksimum 100 peratus bersedia, dari segi keanggotaan, peralatan-peralatan bot, lori, dan sebagainya, jaket penyelamat mencukupi, memang kita siap sedia," kata beliau pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Lawatan itu turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli.
 
Polis negeri turut membekukan cuti semua pegawai dan anggota sepanjang MTL kecuali kes kecemasan.
 
Polis turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya dinasihatkan pihak berkuasa.
 
 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ