BEDONG, 22 Jun - Lagi usaha meningkatkan kesedaran pelajar berkaitan keselamatan jalan raya dan menjauhi najis dadah.
Ia dilaksana menerusi Program Kempen Keselamatan Jalan Raya BeSS RIDE 2025 Peringkat Negeri Kedah.
Program dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Bedong bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata program bertujuan untuk mendidik pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah hadir dengan selamat dan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
Para peserta bergerak dari SMK Bedong ke SMK Amanjaya, SMK Tunku Sulong dan SMK Sik untuk menyerahkan sepanduk, risalah dan poster berkaitan kempen keselamatan jalan raya serta pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja.
Beliau berharap kerjasama tersebut dapat meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus membantu membendung masalah salah laku pengguna jalan raya serta menghindarkan mereka daripada terjebak dalam gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.
Ia juga selaras dengan hasrat Dasar Pendidikan Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
Program tersebut disertai 31 pelajar, lima guru pengiring, tiga pentadbir sekolah dan 10 Kumpulan DG Bikers Guru Insani Malaysia.