PRAGUE, 22 Jun- MaresmaF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak melakar sejarah membanggakan apabila muncul juara dan membawa pulang anugerah Golden Diploma Award dalam kategori ‘middle class’ di Festival Orkestra Tiupan Antarabangsa Prague 2025.
MAWO menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara, sekali gus menjadi kumpulan terbaik dalam kategori tersebut selepas menerima markah tertinggi daripada panel juri profesional.
Golden Diploma merupakan pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan tersebut, diikuti anugerah perak dan gangsa, berdasarkan sistem pemarkahan menyeluruh yang menilai aspek teknikal, persembahan dan kesepaduan muzik.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu lower class, middle class dan higher class, yang ditentukan berdasarkan tahap kesukaran muzik serta pengalaman dan kemahiran kumpulan orkestra bertanding.
Tahun ini, sebanyak 13 kumpulan orkestra dari 11 negara mengambil bahagian dalam edisi 2025, dengan Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia manakala 10 lagi peserta lain mewakili negara-negara Eropah.
Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dan membuktikan keupayaan pelajar tempatan bersaing dalam dunia muzik orkestra global.
Terdahulu, FELDA, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi, turut memainkan peranan penting dalam memastikan segala aspek persiapan pasukan berjalan lancar.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat dan kesiapsiagaan sebelum berlepas ke luar negara, satu konsert khas bertajuk “Desaku Mendunia” telah dianjurkan pada 27 dan 28 Mei lalu bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Konsert itu bukan sahaja berfungsi sebagai pentas latihan terakhir buat MAWO, malah menjadi simbol kolaborasi antara pendidikan, seni dan penyiaran nasional. Ia turut menampilkan barisan artis tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang Khalifah dan kumpulan Zeppo Youngster, yang tampil memberikan sokongan serta inspirasi buat para pelajar.