fb fb fb fb fb

MAWO gemilang di Prague, bukti anak desa mampu takluk dunia- TPM Zahid

FOTO FB FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada MaresmaF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak yang berjaya meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague ke-26.

Dalam hantaran di laman sosial rasmi beliau hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyifatkan pencapaian MAWO bukan sekadar kejayaan dalam bidang muzik, malah sebagai simbol semangat, disiplin dan potensi luar biasa anak-anak desa yang berjaya menakluk pentas antarabangsa.

“Malaysia, satu-satunya wakil dari Asia, berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah. Lebih membanggakan, MAWO dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional antarabangsa,” katanya.

Festival tersebut menghimpunkan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class mengikut tahap kesukaran muzik serta kemahiran teknikal peserta.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut berkongsi bahawa beliau sendiri pernah menyaksikan persembahan MAWO dalam Konsert “Desaku Mendunia” yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lalu, sebelum kumpulan tersebut berangkat ke Prague.

“Saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa anak-anak muda ini penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa. Mereka benar-benar telah 'mendonia',” katanya.

Jelas beliau, kejayaan itu bukan hanya milik MRSM atau FELDA, tetapi menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, kerajaan memberi jaminan akan terus menyalurkan sokongan berterusan termasuk penyediaan peralatan dan dana bagi memperkasa bakat anak muda dalam bidang seni dan budaya.

“Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak-anak muda luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi, dan tiada sempadan untuk berjaya,” tambah beliau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE