fb fb fb fb fb

Kementerian Pertahanan diarah gerakkan aset bantu operasi banjir - TPM Zahid

BESUT, 20 Disember - Kementerian Pertahanan diarah mengerakkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu operasi banjir di tiga negeri di Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata aset-aset tersebut perlu digerakkan segera untuk menampung kekurangan aset seperti lori dan bot di negeri-negeri terlibat.

Katanya, kemudahan aset tersebut penting untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat percaya, pihak ATM sentiasa dalam kesiapsiagaan untuk menggerakkan aset yang diperlukan itu.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

“Saya meminta Angkatan Tentera Malaysia khususnya Menteri Pertahanan untuk memobilisasikan aset seperti truk atau lori yang lebih berat dikerahkan ke negeri Kelantan, Terengganu, Pahang.

"Jawatankuasa Benca Pusat akan mengkoordinasikan bantuan-bantuan daripada Nadma yang telah diarahkan YAB Perdana Menteri untuk menggunakan peruntukan yang sedia ada untuk dimobilisasikan sepenuhnya dan jika keperluan mendesak...peruntukan tambahan akan dihulurkan segera," katanya kepada pemberita ketika melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, di sini.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa memberitahu kekurangan aset berat menjadi antara punca bantuan lambat sampai ke kawasan terputus hubungan akibat banjir di negeri ini.

Media Baharu