fb fb fb fb fb

Perkhidmatan am perbendaharaan terima peruntukan terbesar

KUALA LUMPUR, 20 Disember- Perkhidmatan Am Perbendaharaan merupakan peruntukan terbesar yang diluluskan dalam Bajet Mini 2023 hari ini di Dewan Rakyat dengan nilai lebih RM28.118 bilion.

Ia diikuti Kementerian Pendidikan sebanyak RM24.97 bilion dan Kementerian Kesihatan sebanyak RM17.05 bilion.

Peruntukan lain termasuk Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM2.16 bilion; Kementerian Dalam Negeri (RM6.90 bilion); Kementerian Pendidikan Tinggi (RM5.85 bilion); Kementerian Pertahanan (RM5.70 bilion); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (RM2.38 bilion); Perbendaharaan (RM2.01 bilion) dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (RM1.59 bilion).

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula mendapat peruntukan sebanyak RM1.80 bilion; Kumpulan Wang Terkanun (RM1.09 bilion); Parlimen Malaysia (RM83.36 juta); Kementerian Komunikasi dan Digital (RM495.72 juta); dan Jabatan Perkhidmatan Awam (RM235.75 juta).

Turut diluluskan, permohonan peruntukan lebih RM55.959 bilion dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.

(Anwar Ibrahim)

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, "suatu jumlah wang berkenaan dalam ruang tiga dan empat penyata itu bertentangan dengan maksud yang dinyatakan dalam ruang satu penyata ini adalah diuntukkan bagi perbelanjaan, sementara menunggu anggaran perbelanjaan pembangunan tahun 2023 diluluskan."

Dewan Rakyat juga meluluskan usul memindahkan sebanyak RM35.045 bilion, iaitu baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak RM31.834 bilion dan baki terimaan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MTIB) sebanyak RM3.211 bilion bagi tahun 2022 ke Kumpulan Wang Pembangunan di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

Juga pemindahan RM16.20 bilion di bawah seksyen 3(1) Akta 275 dan seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Akta 830).

Jumlah tersebut adalah baki wang terimaan MGII bagi tahun 2022 ke Kumpulan Wang COVID-19.

Kedua-kedua usul itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, pindahan itu dilaksanakan bagi membiayai sebahagian daripada keperluan perbelanjaan pembangunan tahun 2022 seperti yang diluluskan oleh Parlimen pada pembentangan Bajet 2022 pada tahun 2021.

Sementara wang pindahan ke Kumpulan Wang COVID-19 pula bertujuan menampung keperluan perbelanjaan (Kumpulan Wang COVID-19) bagi tahun 2022.

Media Baharu