fb fb fb fb fb

Kembara solo Sarlinawati bawa semangat lawan kanser

Sarlinawati Abdul Mues, 48 tahun/RTM

JOHOR BAHRU, 14 Disember- Seorang pejuang barah payudara dan paru-paru tahap empat, Sarlinawati Abdul Mues, 48, akan mengembara secara solo ke 22 buah negara pada April tahun hadapan untuk mengumpul dana bagi pesakit kanser.

Menggunakan motosikal jenis skuter, ekspedisi beliau dijangka bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Arab Saudi pada Ogos tahun hadapan.

Sarlinawati akan menyantuni pesakit kanser yang sedang menerima rawatan sepanjang pengembaraan tersebut, memberikan semangat dan berkongsi pengalaman melawan barah yang dihadapinya sejak 2021.

"Apabila kita menunggang motosikal, ia seperti meneruskan kehidupan. Dalam perjuangan melawan kanser, kita juga perlu teruskan kehidupan walau apa pun keadaan. Seperti motosikal, apa sahaja halangan di depan, saya perlu teruskan perjalanan.

"Sebab itulah saya memilih motosikal kerana ia sudah sebati dengan saya, dan saya rasa selesa bermotosikal," katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tapak Pusat Sokongan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Iskandar Puteri di sini hari ini.

Sarlinawati sebelum ini telah mengelilingi Semenanjung tahun lalu, merentasi 3,000 kilometer selama 24 hari bermula di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya dan berakhir di Ipoh, Perak.

SITI AISHAH MD ISA