fb fb fb fb fb

JKKK perlu pastikan kejayaan & tadbir urus Program SejaTi MADANI

Foto Facebook Datuk Seri Fadillah Yusof

BETONG, 14 Disember- Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah menerima peruntukan menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bukan sahaja perlu memastikan kejayaan pelaksanaan program tersebut, tetapi juga memastikan ia dilaksanakan secara berterusan dan ditadbir urus dengan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain itu mereka juga perlu kreatif dalam menambah baik program bagi menjana pendapatan secara berterusan, sekali gus mampu memperkembangkan modal program.

Beliau berkata aspek pengurusan kewangan yang efisien amat penting dalam perkara tersebut.

"Saya mengharapkan dan saya yakin kalau diurus tadbir dengan baik... insya-Allah, perkara ini akan terus berjaya, berkembang dan selepas ini kita akan ada melihat JKKK yang berkembang maju", ujarnya.

Sehubungan itu, ketua masyarakat dan ketua kaum yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan kewangan dinasihat mendapatkan pandangan dan sokongan daripada pihak pejabat daerah dan kepimpinan setempat.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berucap merasmikan Majlis Penyerahan Dana SejaTi MADANI Daerah Pusa, Bahagian Betong.

Pada majlis tersebut, sebanyak 13 JKKK menerima dana dengan nilai keseluruhan RM1.27 juta bagi pelaksanaan tiga program iaitu pertanian pintar fertigasi cili, penternakan ikan tilapia merah, selain kemudahan sewaan sistem siar raya/kanopi/alat muzik.

ROSLINA BINTI DIN