fb fb fb fb fb

Kembara RIUH akan diperluas ke lebih banyak lokasi seluruh negara- Fahmi

Menteri Komunikasi menerima cenderahati daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Antarabangsa Hoe Kian Choon (kiri) sempena Majlis Memperkenalkan Duta Baharu CUCKOO di Sentul Depot/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Kementerian Komunikasi mencadangkan agar Program Kembara RIUH diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.

Ia berikutan sambutan yang memberangsangkan terutama golongan belia.

Menterinya, Fahmi Fadzil, mengambil contoh penganjuran Kembara RIUH di Sentul Depot yang bermula semalam merekodkan pengunjung seramai 10,000 orang dan dijangka meningkat 30,000 orang sehingga esok.

"Saya Difahamkan, ada yang beratur seawal 3.00 petang untuk datang ke program ini. Hari pertama penganjuran sudah mencecah 10,000 pengunjung dan kita jangka sekurang-kurangnya 30,000 kehadiran atau lebih dari itu. Sabtu, kita jangkakan memang ramai lagi yang akan datang, jadi manfaatkanlah pengangkutan awam yang berhampiran, supaya tiada masalah mencari parkir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Kembara RIUH ‘RIUH X Cuckoo’ #SAMASAMA Raya yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di ibu negara.

Program Kembara RIUH 2024 akan berada di enam lokasi seterusnya iaitu di Johor Bahru pada 5 hingga 7 April ini, diikuti RIUH X Hari Belia Negara di Melaka pada Mei, RIUH Oha! di Kuching, Sarawak, RIUH Bah! 2.0 di Kota Kinabalu, Sabah, RIUH Ork! di Kuantan, Pahang dan Rock N’ RIUH di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Disember depan.

ROSLINA BINTI DIN