Nibong Tebal, 29 Mac - Seorang guru wanita yang tular menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelajarnya 'direhatkan' dari mengajar sehingga siasatan kes terhadapnya selesai.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata guru itu perlu mematuhi sepenuhnya proses siasatan dijalankan oleh pihak polis sebelum pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan sewajarnya.
Fadhlina berkata, setakat ini , kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan pihaknya akan memberikan komitmen penuh kepada siasatan pihak berkuasa.
Fadhlina berkata demikian ketika ditanya perkembangan siasatan kes seorang guru wanita yang didakwa bercinta dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang tular di media sosial baru- baru ini.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Nibong Tebal di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan ,di Nibong Tebal pada Jumaat.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah 140,000 kepada 21 masjid, 56 surau dan 126 individu terdiri daripada imam, bilal dan siak seluruh Parlimen Nibong Tebal.
Media sebelum ini melaporkan seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff dilaporkan berkata, polis menerima laporan pada 12 Disember lalu mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.
Ibu mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anak lelakinya, selepas mangsa pulang dari ulang kaji Matematik bersama suspek.