(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenanagan bersama
orang ramai ketika singgah di kedai Keropok Lekor pada Kembara Kenali Borneo hari ini/Foto Bernama)
TAWAU, 4 September- Hari kedua Kembara Kenali Borneo menuju ke Lahad Datu dan Sandakan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninggalkan Tawau kira-kira pukul 8 pagi tadi bagi menelusuri Jalan Tawau ke Lahad Datu sejauh 149 Kilometer.
Di sepanjang jalan Tawau ke Lahad Datu, Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli bermesra dengan masyarakat setempat selain berkenan berangkat ke Pejabat Esscom Lahad Datu.
Ia bagi meninjau pengoperasian Esscom dalam menjaga aspek keselamatan di Pantai Timur Sabah.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong pula berkenan mencemar duli memasak Bubur Lambuk dan Udang Masak Berlada bersama PUSPANITA Cawangan Lahad Datu.
Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan bersama-sama kira-kira 1,000 masyarakat dalam majlis santapan di Dewan Perdana Lahad Datu dan menyampaikan sumbangan kepada 100 golongan asnaf serta Orang Kurang Upaya (OKU).
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meneruskan
perjalanan menuju ke Lahad Datu pada Kembara Kenali Borneo hari ini/Foto Bernama)
Selepas Lahad Datu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat meneruskan perjalanan ke Sandakan.
Esok, Seri Paduka Baginda berdua dijangka akan berangkat ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.
Seri Paduka Baginda berdua juga akan ke Institut Perhutanan Telupid bagi acara memancing dan majlis santapan tengah hari.
Serta dijangka berkenan menghadiri Majlis Santapan Makan Malam bersama masyarakat di Pentas Kebudayaan, Pekan Kundasang pada sebelah malam.
Laporan Iswadiman Shamsuddin