(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan
pelancaran Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera
MADANI di Kompleks Tun Sambanthan/Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 4 September- Kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan tenaga kerja asing dalam tiga sektor yang sebelum ini dibekukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia melibatkan perkhidmatan gunting rambut, perusahaan tekstil dan perniagaan emas.
"Oleh kerana keperluan segera untuk tiga kategori ini kita lulus tidak sepenuhnya dan saya minta dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari Jumaat ini menteri akan bawa 'paper' supaya luluskan sebahagian," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D'Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan, di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar mahu golongan belia tempatan dilatih untuk mengisi keperluan tenaga kerja sektor tersebut.
"Dan syaratnya kementerian akan pastikan kita ada 'some training' dan insentif untuk pastikan anak-anak kita dilatih dan kerja kerana kita tak boleh teruskan macam ini.
15,000 tenaga kerja asing diperlukan
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika ditemui media memaklumkan, kira-kira 15,000 tenaga kerja asing diperlukan dalam tiga sektor berkenaan.
"Walaubagaimanapun ada syarat-syarat tertentu bukan dibuka secara terbuka...mungkin kita akan melihat apakah kaedah terbaik untuk memastikan peniaga tempatan tidak teraniaya dengan kemasukan terlalu ramai pekerja asing," jelasnya.
(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)
Beliau turut menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk melatih belia tempatan supaya berkecimpung dalam sektor tersebut.
"Kita harus melatih tenaga kerja sendiri untuk membolehkan Kementerian Sumber Manusia mewujudkan program latihan TVET kepada anak tempatan supaya mereka dapat mempelajari kemahiran yang terlibat," menurut beliau.