KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN menandakan satu perkembangan penting dalam pengukuhan kerjasama serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, penyertaan Timor-Leste memberi makna baharu kepada visi ASEAN yang inklusif dan bersatu padu.
Berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, beliau berkata penyertaan Timor-Leste memberi makna baharu kepada visi ASEAN yang inklusif dan bersatu padu.
“Kemasukan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN – mengukuhkan lagi masa hadapan bersama bersama dan hubungan kekeluargaan serantau. Dalam komuniti ini, pembangunan serta autonomi strategik Timor-Leste akan menerima sokongan padu dan berterusan,” kata beliau.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menandatangani deklarasi yang memuktamadkan penyertaan rasmi negara itu dalam ASEAN.
Dengan termeterainya deklarasi tersebut, ASEAN kini terdiri daripada 11 anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Kemasukan negara itu melengkapkan perwakilan Asia Tenggara, dan Kemboja menjadi negara terakhir diterima masuk ke blok itu pada 30 April 1999.
Timor-Leste memperoleh kemerdekaan pada 20 Mei 2002 dan pada 2011 negara ini secara rasmi memohon menyertai ASEAN.
Dengan populasi kira-kira 1.4 juta orang, Timor-Leste masih bergantung kepada eksport minyak dan gas, manakala sektor pertanian dan perkhidmatan terus menyumbang kepada hasil negara.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini meningkat sebanyak 3.4 peratus pada 2024 kepada USD1.99 bilion dan dijangka berkembang 3.9 peratus pada 2025 berikutan penurunan inflasi serta peningkatan kestabilan fiskal.