KUALA LUMPUR, 28 Julai- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyasarkan lebih 6,000 peserta wanita akan menerima manfaat menerusi 14 siri program Wanita Inspirasiku (WINS) tahun ini.
Ia termasuk peluang mewujudkan rangkaian kerjasama, bimbingan kemahiran, kit peralatan secara percuma serta akses produk usahawan luar bandar ke peringkat global.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Zurainah Musa, mahu KEMAS mendekati lebih ramai golongan wanita terutama di kawasan pedalam untuk diberikan bimbingan serta motivasi berkaitan keusahawanan.
"Wanita ini ramai yang ingin memulakan perniagaan tetapi mereka ini tidak tahu cara untuk memulakannya. dengan bimbingan dan tunjuk ajar ia dilihat akan membantu golongan itu.
"Ia meliputi kelas motivasi, pemasaran dan penggunaan media sosial yang akan membantu usahawan wanita ini serta dapat membantu ekonomi keluarga sekali gus ekonomi negara ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku Peringkat KEMAS Wilayah Persekutuan di ibu negara.
Bertemakan 'Wanita Desa ke Global', program selama dua hari itu dijangka menjadi platfrom usahawan bimbingan KEMAS khususnya golongan wanita berkongsi pengalaman dan mempromosi produk jualan.