KOTA TINGGI, 4 Februari - Tiada keperluan untuk menggantikan trak-trak Tentera Darat Malaysia (TDM) susulan kemalangan yang mengorbankan tiga anggota Tentera Darat di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gurun, Kedah pada Jumaat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan siasatan Lembaga Siasatan Dalaman.
Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.
"Ketiga-tiga trak itu dalam perjalanan hendak mengambil anggota yang baru selesai operasi dan mereka berkonvoi, jadi mereka dilanggar, trak ketiga melanggar trak kedua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kebajikan veteran ATM yang terkesan banjir dan mengalami masalah kesihatan, di sini.