fb fb fb fb fb

Bakti kepada komuniti, golongan muda disaran sertai Skuad Uniti

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

PASIR MAS, 4 Februari - Golongan belia diharap dapat melibatkan diri berbakti kepada komuniti setempat menerusi Skuad Uniti di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) masing-masing.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tenaga belia amat diperlukan terutama membantu KRT yang dilanda bencana seperti banjir.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 128 Skuad Uniti diwujudkan di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan bantuan sekiranya berlakunya bencana. 

"Skuad berkenaan bertanggungjawab melaksanakan Gerak Kerja Bantuan Banjir seperti membantu anggota keselamatan dalam proses pemindahan penduduk terjejas banjir.

Selain melaksanakan aktiviti pembersihan di lokasi terjejas banjir serta membantu operasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Rahmah Bersama Jentera Perpaduan Negeri Kelantan di KRT Lubok Setol, di sini.

Sehubungan itu, tambah Aaron, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang juga merupakan salah satu agensi di bawah kementerian di minta bersama menjayakan misi Skuad Uniti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN