fb fb fb fb fb

Akademia perlu ada roh dan jiwa martabat akar budaya- NC UPSI

Prof Abdul Halim menyampaikan buku Syarahan Perdana Pelantikan Profesor kepada Prof Md Amin (lima dari kiri) selepas majlis di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah

TANJUNG MALIM, 4 Februari- Kecemerlangan dalam akademik tanpa jiwa dan institusi tanpa roh tidak mencerminkan kecemerlangan yang sebenar.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pertama, akademia perlu memiliki roh dan jiwa, kedua, keinginan, dan ketiga mereka melihat bahawa bidangnya adalah satu bidang yang mulia dan harus dijulang.

“Roh ini harus ada dalam kalangan kita semua agar kita dapat memartabatkan asas dan akar budaya kita seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mengakar di bumi, Menggapai di langit," katanya ketika berucap sempena majlis Syarahan Perdana Pelantikan Prof Abdul Halim Ali Rabu lalu di Dewan Jauhar, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata, UPSI bermula zaman Sultan Idris Training College (SITC) adalah pencetus kepada kemerdekaan Nusantara yang bermula daripada bahasa, bangsa dan budaya.

"Ini yang harus kita renung, malah akademia seharusnya mewarisi tokoh-tokoh sasterawan negara yang bertapak di bumi keilmuan Muallim ini seperti Sasterawan Negara seperti Shahnon Ahmad, Kemala dan Rahman Shaari,” katanya.

"Jangan kita hanya menjadi pengajar namun kita harus menjadi pencerna yang membawa ke arah pemikiran baharu seperti mana Za’ba yang memerdekakan Nusantara melalui pena.

"Justeru, katanya, ini menjadi menjadi tamparan kepada kita apabila bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa rasmi di Indonesia.  Di manakah tujuan dan perjuangan bahasa Melayu? Apakah yang harus kita lakukan dalam memartabatkan bahasa?," katanya.

Oleh itu, UPSI sedang menghidupkan Pusat Pengajaran Bahasa di School of Oriental Studies and African Studies (SOAS), Universiti of London dan menghantar dua orang pensyarah untuk menghidupkan bahasa Melayu di sana seterusnya di Uzbekistan State World Languages University, Tashkent, selain menghantar wakil di setiap pusat di samping terdapat lima mahasiswa dalam pengajaran bahasa Melayu yang akan menjalani latihan mengajar di sana.

Dr. Abdul Halim yang baru dilantik sebagai Profesor bidang Kesusasteraan Melayu menyampaikan syarahan bertajuk “Menilai Makna Keindahan Berasaskan Konsep Estetika Bersepadu”, konsep yang dicetuskannya ketika melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Hadir sama mendengar syarahan beliau, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh dan Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Hassan serta Presiden Karyawan Pk, Zabidin Ismail.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE