fb fb fb fb fb

Kemalangan maut LPT1: Pemandu lori kontena ditahan

(Kemalangan maut yang meragut empat nyawa termasuk dua warga emas di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1)

TEMERLOH, 28 Ogos - Pemandu lori kontena berusia 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut meragut empat nyawa termasuk dua warga emas di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), di Temerloh awal pagi semalam.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan itu mengorbankan tiga sekeluarga, iaitu penumpang Proton Exora, Mohamed Shamsuddin, 75 tahun, Kamariah Hamzah, 72 tahun dan seorang kanak-kanak iaitu cucu pasangan terbabit, Muhammad Daniel Danish Mohd Ali,12 tahun.

Manakala seorang lagi mangsa ialah pemandu trak penunda, Mohd Azuan Zainal Abidin, 53 tahun.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 3:10 pagi di Kilometer 135.7 berhampiran susur keluar Chenor, di Temerloh.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah lori kontena dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan merempuh sebuah trak penunda, Proton Exora dan Proton Waja yang berhenti di lorong kecemasan.

Ketika kejadian, Proton Exora terbabit rosak dan sedang dinaikkan ke atas trak penunda.


(Kemalangan maut yang meragut empat nyawa termasuk dua warga emas di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1) 

Rempuhan itu menyebabkan Proton Exora tersebut terhumban ke gaung di tepi lebuh raya sedalam kira-kira 10 meter.

Akibat kemalangan itu juga, lapan individu termasuk lima kanak-kanak berusia dua dan tujuh tahun serta pemandu Proton Exora parah.

Turut cedera pemandu serta dua penumpang Proton Waja.

Mayat mangsa yang maut kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.

Pemandu lori kontena terbabit juga dilaporkan cedera dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kemalangan maut.

Media Baharu