BESUT, 31 Mac- Hasrat empat sahabat berhari raya ke Terengganu bertukar tragedi apabila terlibat kemalangan hingga meragut nyawa salah seorang daripada mereka.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Azamuddin Ahmad @Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan dua buah kereta berlaku pukul 1.10 petang tadi di Jalan Bukit Jeruk Besut.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu lelaki 56 tahun dari arah Bukit Jeruk menghala ke Kampung Bintang untuk berhari raya terbabas.
"Lalu masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta dinaiki empat sahabat dari Semerak, Kelantan, menghala ke Benting Lintang, Besut," kata Azamuddin.
Mangsa maut adalah penumpang belakang sebelah kiri iaitu Muhammad Nazriel Nu’man Mat Nawi 17 tahun yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku Kelantan kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu tiga lagi mangsa masing-masing merupakan pemandu kereta tersebut Muhammad Asyraf Raswadi dan penumpang belakang Muhammad Shahid Bakht Zada ditidurkan manakala Mohd Tifhafizuddin Aisal Tarmizi cedera ringan pada bahagian kepala.
Kesemuanya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut, manakala pemandu berusia 56 tahun itu Abd Razak Md Idris dan dua lagi penumpang dibahagian belakang kenderaan itu iaitu Mohammad Amier Abd Razak (20) dan Siti Nur Nadia Abd Razak (18) cedera ringan.
Isterinya pula Rohaya Che Wan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Dalam pada itu Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba 1 Khairul Anuar Muhammad memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.34 tengah hari tadi.
Lapan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Besut bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 12.35 tengah hari.
Pihaknya mengambil masa 30 minit mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.