fb fb fb fb fb

Kemalangan AIR INDIA, jadual penerbangan dari Malaysia ke Ahmedabad tidak berubah

Penerbangan dari Malaysia tidak terjejas

KUALA LUMPUR, 13 Jun - Penerbangan oleh syarikat-syarikat penerbangan dari Malaysia ke Ahmedabad, Gujarat, India, tidak terjejas dan tetap mengikut jadual memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad telah dibuka selepas penutupan sementara berikutan kemalangan maut penerbangan Air India.

Buat masa sekarang, AirAsia Malaysia mengendalikan lima penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad, manakala Malaysia Airlines mempunyai lapan penerbangan langsung antara Kuala Lumpur dan Ahmedabad setiap minggu.

Dalam catatan di X, Lapangan Terbang Ahmedabad berkata semua operasi penerbangan di lapangan terbang itu telah diteruskan.

“Untuk maklumat penerbangan terbaharu, sila berhubung dengan syarikat penerbangan anda dan kemas kini rasmi kami,” katanya.

“AirAsia terus mengendalikan penerbangan dari/ke Ahmedabad,” kata syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada Bernama ketika ditanya mengenai jadual penerbangannya ke bandar di India Barat itu

Penerbangan Malaysia Airlines ke bandar tersebut juga dilaporkan tidak terjejas.

Penerbangan Air India yang dalam perjalanan ke London dan membawa 242 orang, termasuk 12 kru terhempas pada Khamis sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad.

Penerbangan AI171 berlepas pada 1.38 petang waktu tempatan.

Pesawat Boeing 787-8 itu membawa 169 warga India, 53 British, seorang rakyat Kanada dan tujuh warga Portugis.

Sementara itu, Malaysia Airlines menyampaikan ucapan takziah kepada semua pihak yang terjejas oleh kemalangan tragis itu, katanya melalui platform X.

“Hati kami bersama dengan penumpang, anak kapal serta orang yang mereka sayangi melalui saat-saat tragis ini. Kami bersama dengan Air India dan semua yang terkesan oleh tragedi tersebut,” katanya.

Batik Air Malaysia turut berkongsi ucapan takziah yang sama kepada pihak yang terjejas.

“Takziah kepada semua pihak yang terjejas oleh kejadian yang menimpa Air India. Kami terbang di langit yang sama walaupun dengan nama yang berbeza tetapi pada saat-saat seperti ini, kami berdiri bersama sebagai satu keluarga penerbangan. Kepada penumpang, kru dan orang tersayang, ingatan kami tetap bersama anda,” katanya lagi.- BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN