fb fb fb fb fb

Kelulusan projek ICT kerajaan perlu diperhalusi secara holistik - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Kelulusan bagi projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerajaan perlu diperhalusi melalui pendekatan 'enterprise architecture' secara holistik bagi memastikan perbelanjaan berhemah dan keberkesanan pelaksanaan, jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan langkah tersebut mengambil kira usaha kolaboratif merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat dan perkhidmatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian dan agensi berkaitan juga perlu mematuhi jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

Dalam mesyuarat sama, status terkini perkhidmatan WiFi di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut dibentangkan dengan kesemua institusi tersebut telah selesai menjalani proses naik taraf.

Penambahbaikan kemudahan internet itu akan diperluaskan ke 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 24 Institusi Pendidikan Politeknik serta 43 Kolej Komuniti dalam usaha meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan digital di institusi pendidikan negara.

SITI AISHAH MD ISA