(FOTO HIASAN)
PORT DICKSON, 23 September- Kelestarian alam sekitar antara fokus utama Negeri Sembilan demi kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bagi menjayakan usaha itu semua pihak perlu komited dan bersama-sama memulihara, menjaga serta mengindahkan alam sekitar.
"Kita berharap bahawa kesedaran itu berada pada tahap terus meningkat dan negara terus sepatutnya kekal sejahtera kita katakan bahawa kesejahteraan rakyat, kesejahteraan negara kemakmuran itu adalah sebahagian daripada alam sekitar kita sebenarnya. Jadi hari ini kita harus hargai alam sekitar kita tingkatkan lebih baik dan kita yakin pada masa akan datang kita lebih makmur dan sejahtera," katanya.

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)
Aminuddin ditemui selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sembilan di Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata program yang dilaksanakan bertujuan mempromosi Kemuncak Sambutan HASN peringkat negeri yang akan diadakan pada 4 November depan.
Ujarnya, pada program sama, aktiviti pembersihan sampah serta pertandingan memancing turut dijalankan dengan penyertaan yang memberangsangkan serta dalam suasana yang meriah.
"Kita telah membuat perancangan yang rapi untuk Hari Alam Sekitar nanti ini lebih daripada 1,000 pengunjung dan kita menfokuskan masyarakat setempat dan penglibatan kerjasama agensi-agensi negeri Persekutuan dan swasta," katanya.