SANDAKAN, 15 Mac - Pelaksanaan kelas tahfiz di institusi penjara membuka peluang kepada prospek untuk mendalami pengajian hafazan al-Quran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ini sekali gus menjadi medium pemulihan yang berkesan dalam membentuk individu lebih berkualiti.
Menurut beliau inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada prospek dalam meningkatkan ilmu keagamaan, malah membantu mereka membimbing penghuni lain ke arah kehidupan yang lebih baik.
"Program ini akan memberi kesan dan impak yang besar. Apabila mereka dibebaskan kelak, insya-Allah mereka dapat kembali ke dalam masyarakat, meneruskan kehidupan serta menyumbang sebaiknya. Selain ilmu agama, mereka juga memperoleh pelbagai kemahiran yang diajarkan di sini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Surau Nur Iman dan Kelas Tahfiz Al-Fateh di Institusi Penjara Sandakan di sini hari ini.