fb fb fb fb fb

Kejadian ribut di PPR Seri Cempaka, paling buruk dalam tempoh 15 tahun

Datuk Fahmi Fadzil meninjau bumbung kediaman yang tercabut di PPR Seri Cempaka

PANTAI DALAM, 22 September - Kejadian hujan lebat dan ribut petir sehingga menyebabkan empat unit rumah tercabut atap sepenuhnya di PPR Seri Cempaka, di sini disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 15 tahun ini.

Penduduk, Sairifuddin Mohd Fahmi, 35 tahun menceritakan detik cemas kira-kira pukul 4.00 petang tadi berkata, dia dan beberapa rakan mendengar bunyi dentuman yang kuat sebelum bertindak keluar dari pejabat persatuan.

"Saya dengar bunyi dentuman. Kemudian saya, beberapa rakan dan pengerusi persatuan keluar dari pejabat. Ketika itu kami halau orang ramai untuk masuk dalam sebab angin tengah kuat dan angin jatuh melibas kereta yang ada. Ada kereta yang sempat keluar, dan ada juga kereta tak sempat keluar.

"Saya nampak kayu kena cermin kereta kemudian kita bantu apa yang patut. Nak telefon bomba pun nanti dulu buat apa patut dulu dengan utamakan keselamatan masyarakat. Kejadian ini pernah berlaku 15 tahun lepas dan kali ini yang paling teruk lah," katanya ketika ditemui RTM.

Seorang lagi penduduk, Nooorliyah Baharudin, 34 tahun bergegas keluar dari kenderaan selepas melihat serpihan atap bumbung mula menghempap kenderaan lain.

"Saya dalam kereta tadi dan angin memang dah kuat dan hujan lebat. jadi saya terus keluar dan nampak serpihan dah jatuh di bahagian sana. saya terus keluar dan selamatkan diri.

"Memang nampak lah jatuh bumbung, kayu semua jatuh. Cermin kereta saya di bahagian depan belakang dan sisi pecah selain bahagian atas kereta juga kemek," kongsinya ketika kejadian.

Sementara itu, Hamidah Daud 64 tahun turut cemas apabila melihat angin semakin kuat selepas selesai menyiapkan kerja mengecat di bahagian lobi bangunan.

"Mula-mula sikit tapi selepas itu menderu, pintu sampai tak boleh nak tutup, ditolaknya. tutup tasha cepat, makcik angkat carpet tu kan, angin masuk dari bawah sampai tak boleh nak cakap dah. pasu makcik apa saja gubahan bunga habis.Kejadian ini dua kali kena, ini yang paling teruk lah," katanya.

Dalam kejadian pukul 4.00 petang tadi, enam unit rumah di Tingkat 17 Block E PPR Seri Cempaka rosak akibat bencana terbabit dengan empat atap rumah tercabut sepenuhnya manakala dua lagi unit rumah mengalami kebocoran saluran paip air.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI