SHAH ALAM, 16 Mac- Tiada negara yang boleh mencapai kemajuan dan kestabilan sekiranya pertembungan antara kaum dan agama berterusan.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, keharmonian dan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat, perlu bagi mendokong dan menyelamatkan bangsa serta negara.
"Itu pendekatan untuk mengangkat martabat negara, mengukuhkan institusi tadbir urus dan demokratik dalam negara kita. Untuk berjaya, kita perlu dukungan dan penyertaan semua kaum semua rakyat negara ini.
Jadi, kita ada pilihan. Boleh jadi hero kaum,boleh bawa pandangan komunistik, boleh pertahankan ketaksuban kaum dan agama ataupun menyelamatkan bangsa dan negara," kata Datuk Seri Anwar berucap dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18, di sini.
Sementara itu, dasar kerajaan MADANI terus berpegang teguh pada prinsip tidak meminggirkan mana-mana golongan.
Jelas Datuk Seri Anwar, perkara itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dirangka yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan minoriti.
"Tetapi, satu prinsip yang sama ialah dasar kita mesti tuntas atau konsisten kerajaan MADANI mesti mewakili aspirasi, denyut nadi perjuangan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Tidak ada hasrat menyisihkan golongan ini malah langkah-langkah diambil supaya ada usaha mengangkat martabat mereka, melalui usaha mereka sendiri, pengorbanan mereka sendiri serta sumbangan mereka," tambah Anwar.
Beliau membidas dakwaan sesetengah pihak yang membawa naratif kononnya kerajaan hanya membela satu golongan tertentu sahaja.